..Assalamualaikum..
tadi ade bace blog encik meow ni.
dye ade share cerpen.
sangat menyentuh hati oke.
so nak share la kat korg sume :)
kalau rajin,bace la sampai abes. xrugi. betol. serius. xtipu.
ak penah letak dah gamba ni sebelum ni. tp xpela,ak suke :P
Cerpen: Hari-hari terakhir
Perempuan turki itu cantik. Kulitnya bersih, bersama abayanya yang putih, dia kelihatan seperti bidadari. Lenggok sopan, bersama pakaian labuh menutup aurat menambah lagi aura kewanitaannya.
Aku sebenarnya sedang berbaring-baring di dalam Masjidil Haram, dalam keadaan mengiring ke kanan, menghadap Kaabah. Sebab itu boleh ternampak perempuan turki tadi. Tidak pula aku ekorinya dengan pandanganku. Cukup sekadar dia melintas di hadapanku. Secantik mana pun perempuan-perempuan yang ada di sini, tidak sekalipun menyentuh hatiku.
Bukan sekadar di sini, seindah mana pun perempuan-perempuan di dunia ini, secantik mana pun mereka, menarik perhatian tahap mana pun, masih belum dapat menandingi…
Suasana terus menjadi gelap secara tiba-tiba, sebelum kata hatiku dapat menghabiskan bicaranya. Bukan kerana aku tiba-tiba buta, bukan juga kerana tempat ini tiba-tiba terputus kuasa, tetapi mataku ditutup satu telapak tangan. Hangat, lembut, harum.
“ Abang tengok apa tu? Tak baik tengok perempuan lama-lama”
Satu suara mulus kedengaran. Aku tersenyum. Terus aku memegang tangan lembut itu dengan sebelah tanganku. Tarik. Cahaya kembali mencium mataku.
“ Mana, ternampak sahaja. Perempuan turki tu lawa” Aku berbicara selamba.
“ Ya la, kita tak lawa” Ayat merajuk.
Aku terus memusingkan tubuhku, mengiring pula ke kiri. Seorang perempuan, bertelekung putih bersih, bersama wajah yang lembut bercahaya, dengan mata hitam bundar, sedang memuncungkan bibirnya memandang aku. Aku ketawa.
“ Tak baik muncung-muncung, nanti dapat anak gigi jongang baru tahu”
Muncungan mulut itu terus berubah menjadi senyuman manis, perempuan itu ketawa geli hati. Hati aku secara spontan menjadi lapang dengan senyuman dan tawa kecilnya.
“ Ada-ada aja abang ni” Dia menutup mulutnya. Aku tersenyum.
“ Seindah mana pun perempuan-perempuan di dunia ini, secantik mana pun mereka, menarik perhatian tahap mana pun, masih belum dapat menandingi Sayang” Aku melengkapkan suara hatiku yanng terhenti tadi. Tapi kali ini dengan bicara, menghadap perempuan yang paling aku cinta di dalam hidup ini. Satu-satunya perempuan dalam hidup yang kupanggil ‘sayang’.
Perempuan itu senyap. Pipinya tiba-tiba merah. “ Betul ke?”
Aku mengangguk. “ Kalau tak percaya, belah la dada, ambil lah hati”
“ Mati la abang nanti” Perempuan itu menolak bahuku. “ Cinta dan sayang bukan boleh nampak”
Aku ketawa kecil. Seronok bercanda-canda dengan isteri tercinta.
“ Tapi, kalau abang hajat kepada perempuan lain, saya boleh carikan. Saya pun dah tak…”
Kata-katanya terhenti, bibirnya disentuh oleh jari telunjukku.
“ Kan dah janji tak mahu sebut fasal tu?”
Dia menundukkan wajah.
“ Maafkan saya”
Dari berbaring, aku duduk bersila. Lututku bertemu lututnya. Dia nampak sedih. Dan aku tahu dia memang sedih. Al-Quran di pangkuan perempuan itu kuambil dan kuletakkan di rak sebelah kami. Kemudian kupegang tangannya.
“ Sayang abang ada satu sahaja. Kalau hilang yang ini, abang tak akan cari ganti yang lain”
Kudekatkan tangan itu ke dahiku. Cinta yang teramat sangat.Aku dapat rasa tubuhnya terenjut-enjut. Dia sedang menahan tangis.
“ Mari balik hotel, jom” Aku mengajak. Mungkin di sana boleh menenangkannya.
Dia menggeleng. “ Saya nak habiskan masa di sini.”
Aku menghela nafas. Aku juga sebenarnya hendak terus di sini. Tiada yang lebih tenang dari tempat ini. Aku menyandarkan tubuhku pada tiang, duduk di sebelah isteriku, sama-sama memandang Kaabah.
Ya ALLAH…
****
Namanya Puteri Sara Nasuha. Dia adalah isteriku, satu-satunya perempuan bukan mahram yang aku cinta. Dari sekolah menengah, memang aku sudah menyimpan rasa. Tidak sangka ALLAH memberikan aku peluang untuk memperisterikannya.
Seorang perempuan yang sederhana. Bukanlah seorang mujahidah segigih Zainab Al-Ghazali, bukan juga seorang yang sesabar Fatma isteri Hassan Al-Banna, tidak pula sefaqih Aisyah isteri Rasulullah SAW, bukan juga beribadah hebat seperti Rabiatul Adawiyah.
Tetapi dia adalah yang teristimewa di dalam hatiku. Perempuan terbaik untuk aku. Solehah, berperibadi mulia dan lembut orangnya. Suka tengok drama Jepun, dan suka baca novel thriller. Suka dengar nasyid Mirwana. Amat minat membaca Al-Quran selepas solat subuh. Walaupun keturunan orang kenamaan, tapi dia tetap bersederhana dan merendah diri.
Kami baru tiga bulan mendirikan rumah tangga. Bagi orang lain, mungkin mereka menganggap aku sekarang sedang asyik memadu asmara dengan isteriku kerana baru sahaja bersatu. Memang biasanya untuk manusia, awal perkahwinan adalah indah-indah. Untuk aku, awalnya juga begitu. Sehingga kini juga begitu sebenarnya.
Tetapi, ALLAH telah menguji aku dan Sara.
Bulan lepas, Sara tiba-tiba jatuh sakit. Awalnya, kufikirkan dia demam. Jadi, aku sekadar memberikannya ubat demam yang sememangnya tersedia di rumah. Namun, demamnya tidak kebah, malah tubuhnya semakin panas selepas dua atau tiga hari. Aku kerisauan, lantas membawanya ke hospital.
Awalnya, doktor menyatakan hanya demam biasa. Dan kebetulan selepas itu Sara kembali sihat. Aku pun lega. Tetapi, selepas itu, Sara mula hilang selera makan, dan berat badannya menurun, dia pula sering mengadu lemah-lemah badan. Kadangkala dia jatuh demam lagi. Selepas seminggu melihat keadaan Sara semakin kronik, aku membawanya semula ke hospital dan meminta doktor membuat diagnosis secara terperinci. Hasilnya amat mengejutkan aku dan Sara.
Sara dinyatakan menghidap penyakit kanser hati dan sudah hampir sampai ke tahap yang tidak dapat diselamatkan. Ketika itu, aku dan Sara terus meminta doktor untuk membuat pembedahan bagi membuang kanser yang ada, namun apabila pembedahan itu berakhir dengan kegagalan.
Doktor menyatakan bahawa, selepas pembedahan itu, Sara hanya ada sekitar sebulan lebih untuk hidup. Aku hampir terjelepuk jatuh mendengar kata-kata doktor. Aku cuba menyembunyikan hal yang sebenar daripada Sara, namun Sara bukanlah seorang yang dapat kusembunyikan rasa hatiku kepadanya. Dia dapat menjangka ada sesuatu yang besar, yang kusembunyikan daripadanya. Akhirnya, aku menceritakan juga kepadanya.
“ Memang takdir begini ya?”
Dia bertanya seorang diri ketika itu. ALLAH sahaja yang tahu betapa tercalarnya hatiku melihat wajahnya yang muram. Lebih menyayat hati, Sara tidak henti-henti meminta maaf daripadaku. Dia rasa bersalah kerana aku berkahwin dengan orang yang hampir mati. Dia rasa, dia telah menghancurkan kehidupanku.
Ya ALLAH…
Ujian ini agak berat.
****
Sudah masuk pusingan kelima. Tawafku bergerak lancar, walaupun ada waktunya pergerakanku diperlahankan dengan jemaah yang bertawaf secara berkumpulan. Namun selain isteriku yang bertawaf sambil memegang tanganku, aku tidak menghiraukan sesiapa.
Kalau di dalam mazhab Imam Asy-Syafie, menyentuh perempuan, walaupun isteri sendiri adalah membatalkan wudhu’. Tetapi, pendapat fuqaha’ yang lain seperti Imam Malik menyatakan bahawa, menyentuh perempuan tanpa shahwat adalah tidak membatalkan wudhu’, walaupun perempuan itu bukan isteri kita. Tapi, menyentuh perempuan yang bukan mahram kita secara sengaja adalah berdosa. Pendapat fuqaha’ lain itulah yang digunakan di dalam kes jemaah ke tempat padat dengan manusia serta bercampur lelaki perempuan seperti di Masjidil Haram.
Untuk aku pula, aku tidak mengaplikasi pendapat menyentuh perempuan tanpa shahwat tidak membatalkan wudhu’ di masjidil haram sahaja. Aku menggunakan pendapat itu di dalam seluruh kehidupanku. Sebab itu, bila aku menyentuh isteriku, aku tidak mengambil wudhu’ku semula. Apa yang aku pelajari di dalam mata pelajaran pembandingan mazhab semasa di universiti dahulu, dan juga di tempat-tempat talaqqi, sememangnya menyatakan pendapat menyentuh perempuan tidak membatalkan wudhu’ adalah pendapat yang lebih rajih.
Sebaik sahaja aku melalui rukun yamani, aku mengucapkan doa untuk kejayaan dunia dan akhirat serta meminta agar dijauhkan dari azab neraka berulang kali. Tidak lama kemudian, kedudukanku mula sejajar dengan Hajarul Aswad. Aku sekadar melambai sahaja sambil mengucapkan “ Bismillahi Allahuakbar” dan terus memasuki pusingan yang keenam.
Aku terus berdoa, tenggelam dalam penyerahan diri hanya kepada ALLAH. Sepanjang tawafku, dari awal hingga kini, aku hanya berdoa dengan dua doa sahaja. Doa pertama aku ucapkan bermula dari hajarul aswad hingga ke rukun yamani. Doa kedua adalah doa meminta kebaikan di dunia dan akhirat, serta dijauhkan dari api neraka, dari rukun yamani ke hajarul aswad.
Semasa tawaf, tiada doa yang khusus yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW kecuali doa memohon kebaikan di dunia dan akhirat serta meminta agar dijauhkan diri dari azab api neraka. Maka kita disunatkan untuk berdoa apa sahaja, dan berdoa sebanyak-banyak doa yang mungkin. Tapi aku tidak mempelbagaikan doaku. Doa pertamaku itu kuulang-ulang. Masuk pusingan yang ketujuh, aku menambah satu doa:
“ YA ALLAH, kalau KAU tak makbulkan doaku, siapa lagi yang hendak memakbulkan doaku ya ALLAH? Kalau KAU tak mendengar doaku, maka siapa lagi yang hendak mendengar doaku ya ALLAH? Kalau KAU membiarkan aku, maka siapa lagi yang hendak menjaga aku ya ALLAH? Kalau KAU berpaling daripadaku, maka siapalah yang hendak memandang aku ya ALLAH? KAU sahajalah tempat aku bergantung harap, maka perkenankanlah segala permintaan aku ya ALLAH!”
Doa itu menggantikan doa yang pertama, kuulang dan kuulang dalam tawaf terakhir ini. Kuulang dalam keadaan penuh hiba. Hati terasa seperti dicubit-cubit dengan kekerdilan diri. Bergetar jiwa menarik air mata untuk mengalir. Aku menangis sambil mengulang doaku itu. Penuh pengharapan dalam keadaan penuh ketundukan. Ya ALLAH, Ya ALLAH…
Tiba-tiba kurasa pegangan tangan Sara menjadi semakin erat. Kupandang isteriku itu. Dia juga sedang tunduk. Mulutnya terkumat kamit berdoa.Air matanya menitis-nitis. Kain telekungnya basah. Aku tambah hiba. Entah doa apa yang dia sedang ucapkan ketika itu, tetapi nampaknya keadaanya sama seperti aku. Penuh berharap.
Ya ALLAH, perkenankanlah permintaan kami!
Kami terus bergerak, dan menutup tawaf kami selepas melepasi Hajarul Aswad. Aku membawa Sara ke kawasan solat di belakang Makam Ibrahim. Sememangnya, selepas tawaf, antara perkara yang sunat dilakukan adalah solat sunat dua rakaat di belakang makam ibrahim. Di situ kami solat sendirian, bukan secara jemaah.
Dalam sujud terakhir, aku minta bersungguh-sungguh agar doaku di dalam tawaf tadi dimakbulkan. Apabila aku mengangkat kepala, membaca tahiyyat dan memberikan salam, kudapati Sara masih belum bangkit dari sujud. Tubuhnya terenjut-enjut. Dia sedang menangis dengan penuh hiba nampaknya. Hati jadi rawan. Malam ini penuh dengan tangisan.
Aku memandang langit malam yang hitam pekat tanpa bintang. Sepanjang waktu berada di sini, memang aku dan Sara hanya bertawaf di waktu malam, kerana tidak tahan dengan bahang kepanasan di siang hari. Tambahan, ketika siang, manusia terlalu ramai. Aku hanya risaukan kesihatan Sara. Sara bangkit dari sujud, duduk dan tidak lama kemudian memberikan salam. Aku yang berada di sebelahnya, segera menyeka air mata.
“ Sayang doa apa sampai menangis-nangis ni?” Aku bertanya.
Sara menggeleng. “ Rahsia saya dengan DIA”
Aku tersenyum.
“ Abang pun, saya tengok masa tawaf macam dah tak ingat sesiapa aja, khusyuk benar berdoa sampai menangis-nangis. Abang doa apa?”
“ Biarlah rahsia” Aku membalas.
“ Ayo, tiru. Tak aci.” Sara bangun. Aku turut bangun dalam senyuman.
Destinasi seterusnya adalah tempat minum air zam-zam. Itu juga adalah antara sunat selepas melakukan tawaf. Tempat itu ramai orang. Aku tidak pernah membenarkan Sara pergi seorang diri. Akulah yang akan mengambilkan air untuknya. Dia hanya akan kusuruh duduk di tangga yang berdekatan menunggu.
Aku membawa dua cawan. Satu untuk aku, satu untuk Sara. Sara minum sambil menghadap Kaabah. Aku berdoa dahulu sebelum minum, doa yang sama seperti doa pertama dalam tawafku tadi. Tapi aku minum sedikit sahaja, kemudian aku ambil air itu, kutuangkan di atas kepala Sara. Terkejut isteriku itu.
“ Abang, abang buat apa ni?” Basah telekung Sara. Dia memegang kain telekungnya.
“ Katakanlah amin” Aku meminta.
Sara memandang aku penuh persoalan.
“ Katakanlah amin” Aku mengulang.
“ Amin” Sara mengucap kalimah penutup doa itu.
Kemudian aku duduk di sebelah Sara.
“ Kenapa buat macam itu bang? Habis basah telekung saya”
“ Beberapa minit lagi, kering la”
Aku menjawab selamba. Memang, walaupun malam, Makkah tetap panas membahang. Suhu biasa ketika malam adalah 37 darjah celcius. Sebentar sahaja, telekung itu akan kembali kering. Sara senyap tidak berbicara lagi. Dia merapati bahuku.
“ Abang fikir apa sebenarnya?”
“ Menunggu doa dimakbulkan”
Senyap. Kemudian kami senyap. Sama-sama memandang Kaabah yang berselimut kiswah hitam, dijahit padanya kaligrafi dari benang emas.
Ya ALLAH, perkenankanlah…
“ Barangsiapa yang bertaqwa kepada ALLAH, maka ALLAH akan memberikannya jalan keluar, dan memberikannya rezeki dari arah yanng tidak disangka-sangka…” Surah At-Talq ayat 2-3.
****
Tempoh sebulan lebih itu sudah hampir berakhir sebenarnya. Boleh dikatakan, hari-hari ini adalah ibarat hari-hari terakhir untuk aku dan Sara. Hari-hari terakhir sebelum kami berpisah, atau lebih tepat lagi, dipisahkan.
Memandangkan dia mengetahui umurnya semakin pendek, maka Sara meminta kepadaku agar membawanya menunaikan umrah. Aku pantas menghubungi kawan baik ayah yang bernama Pakcik Kamaruzzaman, yang mempunyai sebuah syarikat bernama Syarikat Shahid Travel & Tour. Melalui Pakcik Kamaruzzaman, kami datang menunaikan umrah. Sara kata, dia tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke dua tanah Haram, yakni Makkah dan Madinah. Kini, dia sudah menziarahi Madinah dan sekarang kami berada di Makkah, menghabiskan hari-hari terakhir pakej umrah dan ziarah kami.
Aku pula, semasa belajar di Jordan dahulu, sudah pernah melaksanakan umrah beberapa kali bersama persatuan pelajar arab, Iktilaf Islami. Malam ini adalah malam terakhir kami di Masjidil Haram. Esok petang, kami akan bertolak pulang ke Malaysia.
“ Romantik la pulak kita ni bang, dalam Masjidil Haram ber’couple’” Sara bercanda.
Pembacaan Al-Quranku terhenti. Aku tersenyum, dalam keadaan duduk bersama kaki melunjur, dan Sara sedang meletakkan kepalanya di pehaku. Kami sama-sama memandang Kaabah. Dahulu, ketika aku menunaikan umrah semasa di universiti, aku sering melihat beberapa pasangan suami isteri berbangsa arab duduk-duduk dalam keadaan seperti kami sekarang.
Aku masa itu, memang sudah menyimpanniat untuk membawa bakal isteriku, menunaikan umrah, dan duduk-duduk di dalam masjidil haram seperti pasangan-pasangan romantik yang kulihat itu. Tap tak sangka, aku dapat melaksanakan umrah dengan isteriku, duduk-duduk dalam keadaan romantik di dalam masjidil haram seperti yang aku hajatkan, namun, dalam keadaan kami melalui hari-hari terakhir kami. Hatiku jadi sebak sendiri. Melalui hari-hari terakhir bersama Sara, membuatkan aku menjadi seorang yang lembut dan mudah terasa.
“ La, kenapa abang sedih? Sebab nak tinggalkan tempat ini esok ke?”
Sebab kita sudah hampir berpisah sayang… “ Em..” Yang keluar hanya itu.
“ Abang, nasyidlah satu lagu. Abang kan suka dengar nasyid”
“ Abang tak boleh bawa la lagu mirwana”
Sara tergelak. “ Mana boleh, lagu Mirwana tinggi-tinggi. Abang bawa la lagu yang slow-slow, rendah-rendah”
Aku memandang sekeliling, kawasan solat tempat aku dan Sara sedang duduk kosong. Jam menunjukkan pukul 2.00 pagi. Memang ketika ini tidak ramai orang.
“ The Zikr,
Isteri Solehah”
“ Ok, shoot”
Isteri cerdik yang solehah,
penyejuk mata,
penawar hati, penajam fikiran,
di rumah dia isteri, di jalanan kawan,
di waktu kita buntu, di
a penunjuk jalan
Pandangan kita diperteguhkan
Menjadikan kita tetap pendirian
Ilmu yang diberi dapat disimpan
Kita lupa di
a mengingatkan
Nasihat kita dijadikan pakaian
Silap kita dia betulkan
Penghibur di waktu kesunyian
Terasa rahmat bila bersamanya
Dia umpama tongkat si buta
Bila tiada satu
kehilangan
Dia ibarat simpanan ilmu
Semoga kekal untuk diwariskan
Dengan suara yang teramat rendah lagi perlahan, aku nyanyikan nasyid lama itu. Sara memandang aku sahaja sepanjang nasyid itu kudendangkan. Bila aku selesai menyanyikan nasyid itu, aku seakan terserap ke ruang vakum, suara-suara di sekeliling kami tidak lagi kedengaran menggetarkan gegendang telingaku. Mata Sara bertentang dengan mataku.
Tiba-tiba mata Sara bergenang.
“ Aiseh, sedap sampai nak menangis ke?”
“ Ish abang ni, orang terharu la” Dadaku ditolak.
Aku ketawa kecil. Mataku hangat sebenarnya, namun aku cuba untuk tidak mengalirkan air mata.
“ Sakeena lagu Outlandish lagi mendalam maksudnya”
“ Tapi rap dia complicated, saya susah nak faham”
“ Abang boleh buat slow motion punya”
“ Ini masjid la”
“ Dia yang suruh kita nasyid dulu”
“ Satu lagu je, nak rehat-rehat”
Kami ketawa sama-sama. Aku, kalau duduk dengan Sara, berapa jam pun boleh tahan. Aku tidak kisah. Duduk bersamanya, macam duduk dalam syurga. Tidak kira, tempat sesejuk kutub utara, atau sepanas padang sahara, aku tetap akan rasa nyaman bila berada di sebelahnya.
“ Esok-esok, boleh ke kita sembang-sembang macam ini lagi bang?” Pertanyaan Sara ibarat jarum halus menusuk hati.
“ Kenapa sayang cakap begitu?”
“ Ya la, ini kan hari-hari terakhir saya”
Aku diam. Sara mula menutup mata. Aku tahu, dia sedih. Dan aku tahu, dia tidak sedih kerana dia yang hendak mati. Dia sedih, kerana meninggalkan aku seorang diri.
“ Setiap hari adalah hari-hari terakhir untuk manusia. Siapa tahu dia mati bila, siapa tahu dia hidup sampai bila” Aku cuba menenangkan Sara, tapi sebenarnya aku lebih cuba menenangkan diri sendiri dengan kata-kata itu.
“ Abang memang pandai berbicara ya” Mata Sara terbuka semula.
Aku tersengih. “ Sayang, sayang yakin tak yang ALLAH tu boleh buat apa sahaja?”
“ Yakin”
“ Abang juga begitu”
“ Abang berharap kepada kejaiban?”
Aku menggeleng. “ Abang mengharap kepada ALLAH, yang memegang segala perkara”
“ Tapi, segala perkara tu bergerak atas sunnatullah bang, dan maut itu tidak boleh dielak”
“ Tapi siapa kata maut sayang sudah semakin hampir?”
“ Doktor pakar”
“ Bukan ALLAH kan?”
Sara senyap. “ Tapi, mustahil kan? Abang pun dah tengok result X-ray saya, dan keputusan pembedahan tempoh hari.”
Aku tersenyum kelat. Memang. Aku sudah lihat, dan dari penglihatanku itu, memang Sara tiada harapan lagi.
“ Memang, tetapi salahkah abang untuk terus berharap?”
“ Saya takut abang kecewa sahaja”
Aku menggeleng. “ ALLAH tidak akan mengecewakan hamba-hambaNya. DIA sentiasa memberikan yang terbaik”
“ Abang harap, doa abang di sini makbul” Aku mengharap.
“ Baiklah, abang memang degil. Saya pun harap, doa saya makbul” Sara menjawab.
“ Sara doa apa? Untuk sembuh?” Aku menduga. Sara menggeleng.
“ Habis?”
“ Kan dah kata rahsia. Apa kata abang amin kan sahaja?” Sara selamba sahaja.
“ Amin” Aku di dalam hati berharap, agar apa pun permintaan Sara, ALLAH perkenankan.
“ Abang, Sara sayang, kasih, cintakan abang”
“ Aishiteimasu” Aku menjawab dalam bahasa jepun.
“ Tahu la terer cakap jepun, jangan lah jawab dalam bahasa tu. Apa la. Tak feeling langsung” Sara buat merajuk, dadaku ditumbuk lembut sekali.
“ Abang sangat sangat sangat sangat sayang,kasih, cintakan Sara, lebih dari diri abang sendiri”
Dan bibir Sara menguntum senyum.
“ Moga kita kekal bersama hingga ke syurga” Sara menyambung dengan kata berbentuk doa.
“ Amin”
Ya ALLAH, dengarkanlah, perkenankanlah!
****
Aku duduk dalam keadaan gusar. Nyalaan lampu bertulis KECEMASAN yang berada di atas pintu masih belum padam walaupun sudah hampir 3 jam berlalu. Dua tanganku bertemu, bergenggam dan dahiku menyentuh kedua tanganku itu.
“ Ya ALLAH, selamatkanlah Sara!”
Tadi semasa di rumah, tiba-tiba Sara menjerit-jerit sakit. Aku pantas membawanya ke hospital, ibu, ayah, bapa dan mak aku hubungi. Kami kini sedang sama-sama menanti.
“ Sabar, insyaALLAH ALLAH akan permudahkan”
Bapa mertuaku, yang senang kugelar bapa menepuk-nepuk belakang tubuhku.
“ InsyaALLAH selamat” Ibuku pula menenangkan.
Kulihat ayahku membaca yasin, manakala mak mertuaku sibuk berdoa. Semua tenang sahaja, namun aku yang kegelisahan. Di dalam hati, kalimah ALLAH sahaja yang aku ulang-ulang. Penuh berharap.
Tiba-tiba, lampu kecemasan itu terpadam.
Seorang doktor perempuan keluar. Dia adalah kenalanku, juga teman rapat isteriku, dan merupakan doktor pakar yang bertanggungjawab sebagai penjaga isteriku. Namanya Sharifah Nurul Hidayah.
“ Macam mana?” Aku bertanya dengan penuh keresahan. Ayah, ibu, bapa dan mak turut bangun bersamaku.
Sharifah Nurul Hidayah diam sebentar, menambah resah. Kemudian dia bertanya:
“ Suka anak lelaki atau perempuan?”
“ huh?” Resah gelisah terus hilang.
Sharifah Nurul Hidayah kemudiannya tersenyum.
“ Tahniah, Sara selamat melahirkan anak! kembar lelaki perempuan!”
Jantungku macam hendak tercabut.
“ Akak, jangan la buat lawak macam tu. Buat orang takut ja” Aku mengurut dada. Aku memanggil Sharifah Nurul Hidayah sebagai akak, memandangkan dia adalah senior aku dan Sara semasa di sekolah menengah.
Sharifah Nurul Hidayah tersenyum aja. “ Dah, pergi masuk, azan dan iqamahkan anaknya tu. Tapi jangan kacau Sara sangat, dia masih lemah”
Aku tersenyum. “ Siapa yang nak susahkan orang yang dia paling sayang dalam dunia?”
Sharifah Nurul Hidayah menggeleng kepala sahaja.Aku masuk bersama ayah, ibu, bapa dan mak.Sara menyambut kami dengan senyuman, walaupun senyumannya itu agak tawar kerana kepucatan.
“ Hadiah berganda” Dia angkat jari buat gaya peace.
Aku tersenyum. Terbaring lemah pun ada gaya nakal lagi. Aku pantas mengambil anakku dan melaungkan azan di telinga kanan, kemudian iqamah di telinga kiri. Seorang lagi anakku, juga aku buat demikian. Gembira di dalam hati mencanak-canak. Kalimah alhamdulillah entah sudah masuk kali keberapa kuulang ucap.
“ Ini adalah hadiah, kerana percayakanNya” Sara bersuara.
Aku tersenyum dan mengangguk. Selepas pulang dari masjidil haram, tiada apa-apa yang berlaku kepada Sara walaupun sudah berbulan-bulan berlalu. Malah, dia sudah tidak demam-demam, berat badannya kembali normal, dan dia sudah mula berselera makan. Dia sendiri kehairanan dengan keadaan dirinya.
Akhirnya, aku mengajaknya membuat pemeriksaan sekali lagi dengan doktor. Keputusannya amat menakjubkan. Kanser hati yang dihidapi Sara sudah hilang. Malah, mengikut hasil pemeriksaan itu, Sara seakan-akan langsung tidak pernah menghadapi sakit kronik tersebut. Kini, setahun setengah sudah berlalu, semenjak kepulangan kami dari Masjidil Haram. Sara terus sihat, malah mengandung dan melahirkan anak. ALLAH telah memakbulkan doa aku.
“ ALLAH dah makbulkan doa abang semasa di Tanah Haram dulu”
“ Tapi ALLAH tak makbulkan doa sayang hari itu”
Aku kehairanan. Kenapa? “ Apa pula yang sayang doa?”
“ Abang kena la cerita apa yang abang doa dulu”
Aku memandang ayah, ibu, bapa dan mak. Mereka nampak tertarik dengan perbualan kami.
“ Abang doa, biar sayang sembuh. Itu sahajasatu-satunya doa yang abang sebut semasa di Madinah dan Makkah, masa tawaf, masa sa’ie, masa minum zam-zam. Malah, masa abang tuang zam-zam pada sayang, abang sebut doa yang sama, iaitu minta sayang sembuh”
“ Alhamdulillah, doa kau dimakbulkan ALLAH” Mak mertuaku menepuk-nepuk belakang tubuhku.
“ Alhamdulillah mak. Semuanya kasih sayang ALLAH”
“ Tapi, apa yang kau doa sampai kau kata tak makbul Sara?” Ayahku bertanya. Aku juga hendak tahu. Dan aku yakin semua hendak tahu.
“ Saya doa, agar abang ni dapat isteri yang solehah, baik, caring, dan paling sesuai untuk jaga dia dalam kehidupan ni. Tapi saya tak dipanggil pergi pula, dan abang pun tak kahwin lain. Doa saya tak makbul la”
Aku senyap. MasyaALLAH… Aku terus mendekati Sara yang terbaring di atas katil.
“ Sayang nak tahu tak satu perkara?”
Apa dia? Mata Sara berbicara. Tangan Sara kucapai. Kudekatkan dengan bibirku, kukucup penuh cinta.
“ ALLAH dah makbulkan doa sayang”
“ huh?”
“ Sayang la isteri yang solehah, baik, caring, dan paling sesuai untuk abang dalam kehidupan ini. Sebab itu mungkin, ALLAH tak tarik sayang daripada abang, dan abang memang dah niat dalam hati, kalau sayang ALLAH panggil pergi, abang tak akan kahwin lain lagi”
Mata Sara bergenang. Sama seperti aku. Ini tangisan gembira. Hilang sudah tangisan hiba yang sering tertumpah dahulu.
“ ALLAH hendak ajar kita sebenarnya, yang setiap hari itu adalah hari-hari terakhir kita. Maut sentiasa dekat dengan kita. Maka, bagaimana kita mengisi masa kita, maka bagaimana kita berusaha menghadapinya. Itu yang abang dapatdari ujian yang ALLAH berikan kepada kita” Aku memberikan pendapat dari apa yang aku lalui.
“ MasyaALLAH, Allahuakbar” Kudengar ayah, ibu, mak dan bapa memuji ALLAH SWT. “Dalam sungguh pengajaran yang terdapat dalam peristiwa kehidupan kita ini.” Ibuku menyambung.
Sara tersenyum.
“ Kita pergi Makkah Madinah lagi tak? Kali ini kita buat haji?”
Aku tersenyum.
“ Boleh. Bawa ayah, ibu, mak dan bapa sekali”
Ya ALLAH….
Terima kasih.
sedih x? sedih x? sedih kan? huhu.
okela ak akui sgt panjang.
mungkin ada yang tengok je kepanjangannye,terus tutup tab. haha.
tp serius bes kot. nak skip baca yang sweet2 pon xpe.
yang penting,dah bace amek pengajaran yek.
okela ak akui sgt panjang.
mungkin ada yang tengok je kepanjangannye,terus tutup tab. haha.
tp serius bes kot. nak skip baca yang sweet2 pon xpe.
yang penting,dah bace amek pengajaran yek.
ak berangan nak jadi isteri camni untuk suami ak nanti.
insyAllah ♥
hah. mula la gatal berangan nak kawen dah -.-'
pape pon,amek pengajaran dari cerita ni ye.
apa pengajarannye? sendiri boleh pk kot?
ak tanak menambahkan lagi kepanjangan post ni.
post terpanjang ak. hehe.
ak tanak menambahkan lagi kepanjangan post ni.
post terpanjang ak. hehe.
sekian.
7 comments:
arrgghh.. awak buat saya makin nak kahwin! haha. (;
kan!! :D btw,u bace smpai habis ke? rajinnye u! hehe :D
ehem2x...hehhehe..:P
mesti la! sweet gila!
zack: EHEM2. hehe.
aino: kannnn! cm cite novel tau. boleh ke eh jd cmni kat suami kite nnti? huhu.
hohohoo... tak terkata..
Y_Y
haha. xterkata terharu ka xterkata no komen ka apa ni yek :P
Post a Comment